Monday, March 22, 2010

Perkembangan pesat sebuah bandar Kuala Lumpur pada penghujung abad ke-19 dan awal abad ke-20 telah memberi impak yang besar kepada kehidupan rakyat.

Pengenalan

Pembukaan Kuala Lumpur pada abad ke-18 telah menjadi titik tolak yang
penting dalam kepesatan bandar Kuala Lumpur pada abad ke-19 dan abad ke-20. Sejarah Kuala Lumpur tidak asing lagi pada hari ini. Kuala Lumpur telah dibuka pada tahun 1857 dimana Raja Abdullah,iaitu wakil sultan yang mentadbir Klang dan juga seorang ahli perniagaan telah meneroka Kuala Lumpur untuk mencari bijih timah dengan dibantu oleh Raja Jumaat dari Lukut dan perlombomg cina. Mulai saat ini, Kuala Lumpur terus berkembang kerana tarikan hasil buminya.

Kuala Lumpur telah berkembang akibat daripada kemasukan penduduk yang ramai selepas 1857. Namun begitu, kadar perkembangan ini adalah dalam kadar yang perlahan sahaja. Ini kerana ia menghadapi beberapa masalah seperti bentuk muka bumi yang tidak rata, berpaya serta diburukkan lagi dengan Perang Saudara pada tahun 1867-1872. Perang Saudara yang meletus ini telah menimbulkan banyak kerosakan dan banyak nyawa melayang. Yap Ah Loy sebagai kapitan Cina pada masa itu telah memegang satu tanggungjawab besar untuk membina semula pembangunan yang telah musnah ini. Pada masa tersebut, ekonomi juga telah meleset dan telah menyebabkan harga bijih timah telah jatuh iaitu pada tahun 1875-1879. Untuk sementara waktu. Kuala Lumpur tidak mengalami perkembangan yang jelas.

Pembangunan yang dikecap ini telah menyumbang kepada pertambahan penduduk Kuala Lumpur. Dilaporkan bahawa antara tahun 1878-1879, penduduk Kuala Lumpur telah bertambah sebanyak dua pertiga. Begitu juga dengan bilangan rumah yang dibina. Oleh kerana terlalu ramai penduduk. Petempatan ini telah dibina secara berdekatan. Ia telah mewujudkan kawasan perumahan setinggan.

Pada Mac 1880, pusat pentadbiran di Selangor telah dipindahkan dari Kelang ke Kuala Lumpur oleh pentadbir British. Oleh yang demikian,Kuala Lumpur telah menjadi ibu negeri Selangor. Pengisytiharan Kuala Lumpur sebagai ibu negeri telah membawa perubahan yang sangat besar kerana sebelum ini ia dikenali sebagai kawasan yang berdaya maju dalam industri bijih timah dan berkembang lagi sebagai pusat pentadbiran negeri.

Keadaan Kuala Lumpur beransur-ansur berubah setelah British mengambil alih pentadbirannya. Sebelum perpindahan secara rasmi pusat pentadbiran ini pada tahun 1880, kerajaan British sememangnya telah terlibat dalam membantu Yap Ah Loy dalam pentadbiran Kuala Lumpur terutamnya dari residen J.G. Davidson dan Bloomfield Dougles.

Namun semasa Douglas menjadi residen Selangor yang kedua menggantikan Davidson, proses pembangunan Kuala Lumpur dilihat tidak berapa giat dijalankan ekoran pada ketika itu British hanya berusaha untuk mengambil alih seluruh kuasa pentadbiran Kuala Lumpur dari tangan kapitan cina. Apa yang mendorong kerajaan British ingin mentadbir Kuala Lumpur adalah atas potensi untuk menjadi sebuah pusat pentadbiran yang lebih komprehensif serta potensi ekonomi yang cerah ekoran dari kegiatan perlombongan bijih timah yang giat dijalankan. Pada tahun 1877, soal dalaman Kuala Lumpur telah diletakkan sepenuhnya dibawah kerajaan British melalui penubuhan Majlis Mesyuarat Negeri (MMN) Selangor. Dengan penubuhan majlis itu juga, segala hal ehwal yang berkaitan dengan Kuala Lumpur termasuk soal pentadbiran dan pengurusan bandar telah menjadi tanggungjawab kerajaan negeri Selangor.

Dalam persidangan MMN yang kedua pada 27 Jun 1877, Douglas mencadangkan penubuhan sebuah majlis perbandaran unttuk mentadbir Kuala Lumpur yang mana tugas-tugas pengendalian kebersihan lebih efisyen dan terpelihara. Tetapi cadangan itu terpaksa ditangguh kerana memerlukan satu penilaian yang berterusan seperti mendapatkan reaksi penduduk dan persetujuan dari pelbagai pihak termasuk penduduk Kuala Lumpur. Dengan satu jawatan kuasa khas dibentuk untuk menjalankan tugas-tugas penilaian ini. Salah satu yang amat dititk beratkan dalam cadangan pembentukan majlis perbandaran ini adalah dari segi kos pembiaayan majlis yang dicadangkan. Walaubagaimanapun, cadangan untuk menubuhkan majlis perbandaran ini menemui jalan buntu apabila Douglas meletakkan jawatan pada Ogos 1882.

Setelah jawatan residen Selangor diambil alih oleh Sir Frank Swettenhem, proses pembangunan Kuala Lumpur menampakkan pembangunan yang agak ketara dan jika dibandingkan dengan Douglas, Swettemhem lebih berjaya mengubah wajah Kuala Lumpur. Semasa dibawah Swettenhem, cadangan penubuhan majlis perbandaran tidak lagi diguna pakai seperti mana idea Douglas.

Bermula tahun 1884, program-program pembinaan semula bandar Kuala Lumpur semakin giat dijalankan. Dalam program ini, kerja-kerja mengantikan rumah-rumah kayu dengan banggunan konkrit telah dijalankan. Sebenarnya semasa pentadbiran Douglas projek seumpama ini telah diperkenalkan tetapi ianya tidaklah seaktif pada era pentadbiran Swettenhem dan timbalanya J.P.Rodger. Sebab utama projek ini dijalankan adalah untuk mengelakkan kebakaran dari mudah berlaku. Sememangnya kebanyakan kebakaran yang berlaku di Kuala Lumpur adalah disebabkan oleh rumah-rumah kayu yang mudah terbakar serta kedudukan rumah yang rapat antara satu sama lain. Hasilnya pada tahun 1884 sudah terdapat lebih kurang 234 rumah konkrit telah dibina dan pada penghujung 1885 kebanyakan rumah-rumah terdapat dipusat bandar telah digantikan dengan rumah konkrit. Pada tahun 1887, sudah terdapat 518 rumah konkrit dan menjelang 1888, jumlahnya bertambah menjadi 698 buah.

Perkembangan pesat Kuala Lumpur telah memberi impak yang besar kepada masyarakat tempatan dimana ia mempengaruhi cara hidup dan kelahiran budaya baru dalam masyarakat tempatan. Fungsi Kuala Lumpur yang menjadi Trading Post dimana ia menyediakan pusat-pusat pembekalan, pusat hiburan dan juga perkhidmatan telah menarik minat masyarakat untuk bermigrasi ke Kuala Lumpur. Kesan yang dapat dilihat ialah bagaimana pertambahan penduduk di Kuala Lumpur yang drastik, wujudnya penguasa tempatan, fungsi institusi pasar dalam mengawal masyarakat dan kawalan harga bekalan makanan. Perkembangan khidmat kesihatan juga dapat dilihat dalam era ini yang mana penubuhan hospitality telah berlaku. Perubahan dalam sistem perhubungan dan penularan wabak penyakit juga berlaku dalam era ini iaitu pada akhir abad ke 19 dan awal abad ke-20.


Pertambahan Penduduk.

Perkembangan pesat Kuala Lumpur sebagai pusat pentadbiran, perlombongan serta sebagai ibu negeri Selangor telah menarik minat masyarakat untuk bermigrasi ke Kuala Lumpur. Penduduk Kuala Lumpur telah bertambah secara mendadak dimana pada tahun 1878, penduduk Kuala Lumpur hanya 2000 orang sahaja. Bilangan ini terus meningkat kepada 19,000 orang pada tahun 1890. Seterusnya pada tahun 1895, penduduk Kuala Lumpur adalah seramai 25,000 orang dan jumlah ini mwningkat kepada 30,000 orang pada permulaan abad ke-20. Pada tahun 1910, penduduk Kuala Lumpur telah menjadi 45,000 orang. Menjelang Perang Dunia Pertama, penduduk Kuala Lumpur telah berjumlah 58,000 orang. Julah penduduk yang ramai ini sangat padat pada masa itu dalam lingkungan sempadan tidak melebihi 17 batu persegi.

Suasana ini telah menyebabkan perkembangan bandar Kuala Lumpur pada waktu itu membesar disekitar pasar hingga membentuk sebuah mendela segiempat. Pertambahan penduduk dengan kadar yang begitu besar khususnya selepas tahun 1890, jelas memberikan petanda bahawa Kuala Lumpur sejak tempoh tersebut merupakan sebuah petempatan yang selamat untuk didiami. Jumlah penduduk yang meningkat secara drastic ini disebabkan oleh masyarakat mula berhijrah akibat perkembangan aktiviti perlombongan dan kemudahan infrastruktur yang lebih sistematik hingga membawa kepada perkembangan bandar Kuala Lumpur. Jika dihakimi situasi sedemikian, dapat ditarik satu kesimpulan bahawa tentu adanya faktor yang telah membajai perkembangan tersebut. Penjelasan yang paling berhak di sebalik perkembangan itu ialah jaminan ‘law and order’ yang disediakan pihak British. Bagi menangani segala permasalahan perbandaran, pentadbiran British mengambil langkah menubuhkan Lembaga Kebersihan Kuala Lumpur pada 30 Mei 1890. Lembaga ini dapat ditanggap sebagai penguasa tempatan yang pertama di negeri-negeri Melayu. Meskipun tarafnya sekadar sebuah lembaga, namun ciri-ciri perjalanannya menepati sifat sebuah penguasa tempatan sepertimana Dewan Bandaraya Kuala Lumpur hari ini. Penubuhan Lembaga Kebersihan Kuala Lumpur (LKKL) ini telah menjadi tanda aras kepada penstrukturan bandar Kuala Lumpur sebagai bandar yang terancang.

Budaya baru yang muncul pada era itu ialah budaya kehidupan bandar. Ia merupakan budaya baru yang muncul dalam masyarakat dan merupakan pergerakan daripada budaya tradisional kepada budaya moden. Transformasi inilah yang menarik minat masyarakat untuk berhijrah. Ia dimudahkan lagi dengan adanya jalinan jalan raya dan keretapi yang menghubungkan negeri-negeri di Semenanjung Tanah Melayu dengan Kuala Lumpur. Dengan pertambahan penduduk yang drastik itu telah menyebabkan banyak masalah muncul. Dalam keadaan kepadatan penduduk yang begitu tinggi, pentadbiran British terpaksa berhadapan dengan pelbagai masalah. Penularan penyakit berjangkit yang menyebabkan kadar kematian yang tinggi merupakan masalah terbesar. Buat kali pertama dalam sejarah, mulai 1896, pembetungan najis menggunakan tandas tong telah disistemkan dengan cara melantik kontraktor-kontraktor yang akan menguruskan pengangkutan tong-tong pembetungan ke tapak pembuangan.

Dengan kepadatan penduduk yang tinggi ini telah menyebabkan permintaan yang tinggi dalam penawaran makanan. Untuk memenuhi permintaan ini, orang-orang Melayu telah membuka kawasan pertanian seperti di lembah Ampang, Setapak dan Batu.

Penguasa Tempatan.

Perkembangan pesat bandar Kuala Lumpur telah menyebabkan British memikirkan bagaimana cara yang berkesan untuk menguruskan bandar dan menyelesaikan masalah berbangkit akibat daripada pertambahan penduduk yang drastik. Pertambahan penduduk dengan kadar yang sebegitu besar telah khususnya selepas tahun 1890 telah mengambarkan bahawa bandar Kuala Lumpur sebuah bandar yang selamat untuk didiami. Walaubagaimapun ini tidak bermakna bahawa dengan perkembangan sebegitu, bandar Kuala Lumpur tidak lagi diancam jangkitan wabak atau petaka kebakaran.

Penubuhan Lembaga Kebersihan Kuala Lumpur (LKKL) pada 1890 ini telah ditubuhkan oleh W. E. Mexwell (1889-1891) yang merupakan Residen British di Selangor. SBKL merupakan unit kerajaan tempatan yang pertama diwujudkan di negeri-negeri Melayu iaitu pada 30 Mei 1890 dan mesyuarat pertama badan pentadbiran diadakan pada 4 Jun 1890. Keahliaan dalam LKKL ini terdiri daripada pegawai-pegawai kerajaan dan ketua-ketua masyarakat tempatan.

Fungsi dan peranan utama LKKL ialah bertindak sebagai penguasa tempatan yang mempunyai kuasa dalam hal-hal berkaitan ekonomi,pentadbiran bandar dan lain-lain lagi. Pada tahun 1890, penduduk bandar Kuala Lumpur dianggarkan seramai 19000 orang. Kepesatan dan perkembangan ini tentunya tidak sesuai ditadbir oleh seorang pegawai daerah. Apabila LKKL, ia mempunyai sebuah lembaga yang terdiri daripada individu yang berupaya mengumpul dan memberikan banyak maklumat kepada LKKL berdasarkan tanggungjawab dan peranan masing-masing. Pembentukan LKKL juga dapat meringankan beban tugas MMN kerana sebarang agenda penting berkaitan dengan bandar Kuala Lumpur dipindahkan ke meja mesyuarat LKKL. Sebelum tahun 1890, butiran yang terperinci akan dibincangkan dan diluluskan oleh MMN seperti pajakan penyembelihan, pajakan daging mentah dan pajakan rumah mandi awam.

LKKL telah memperkenalkan beberapa undang-undang dalam mentadbir bandar Kuala Lumpur. Bagi masyarakat tempatan,jika zaman sebelum kedatangan British, mereka tidak tertakluk dengan undang-undang bertulis sebaliknya mengikut undang-undang yang ditetapkan oleh para pembesar. Undang-undang yang sedia ada hanya menggunakan undang-undang lisan sahaja tanpa undang bertulis. Contoh undang-undang yang diperkenalkan oleh LKKL ialah seperti kawalan kebersihan dan harga makanan, peraturan pembentungan najis dan peraturan kawalan penyakit berjangkit.

Anjakan yang diterima dalam kehidupan masyarakat disamping perubahan dalam petadbiran ialah permulaan suatu bentuk kehidupan bandar yang mesti dipatuhi oleh penduduknya. Dalam lingkungan kawasan kehidupan yang terhad dengan kadar pertambahan penduduk yang begitu cepat, jaminan hendaklah dipastikan supaya masalah kesesakan penduduk tidak diburukkan lagi dengan masalah penyakit berjangkit, kebakaran, kekotoran, kekurangan bekalan makanan dan kemudahan asas yang tidak dirancang. Penduduk Kuala Lumpur telah memasuki satu era baru dalam kehidupan bandar diman amereka dipaksa oleh satu set undang-undang kehidupan bandar yang disokong pula oleh hukuman-hukuman denda.

LKKL boleh mendakwa jika seseorang melanggar undang-undang yang telah ditetapkan oleh LKKL. LKKL ini mempunyai kuasa dalam menyaman dan LKKL mendapat kuasa daripada undang-undang. Pada tahun penubuhannya, selain ditetapkan sempadan sah bidang kuasanya iaitu seluas 9 batu persegi, LKKL juga diberi kuasa mengenakan cukai terhadap orang ramai disamping boleh mendakwa sesiapa yang didapati melanggar undang-undang dan peraturan yang dikeluarkannya. Bagi sesiapa yang didapati bersalah melanggar peraturan-peraturan SBKL akan didenda tidak melebihi $50 berdasarkan undang-undang tahun 1890 dan 1902. Denda maksimum ini dinaikkan kepada $100 apabila fasal tersebut dipinda pada tahun 1907. Penjual susu contohnya akan didenda sebayak $20 apabila didapati menjual susu yang tercemar. Selain itu,bagi sesiapa yang menghalang lalu lintas akan didenda sebanyak $25. Jika didapati dia melakukan kesalahan secara berterusan akan dikenakan denda sebayak $10 bagi setiap hari hinggalah halangan tersebut dialihkan.

Bidang tugas LKKL boleh diketegorikan kepada tugas-tugas wajib, separa wajib dan budi bicara. Tugas-tugas wajib adalah tugas-tugas yang ditetapkan dalam undang-undang secara jelas dan wajib dijalankan oleh LKKL. Jika tidak dijalankan merupakan satu kesalahan dan boleh didakwa oleh orang awam di mahkamah . Contohya seperti mana kes pada tahun 1893 dimana Kapten M.C. Syers (Ketua Polis Selangor) yang telah mendakwa LKKL dimahkamah kerana kudanya tercedera akibat terjatuh kedalam lubang. Bagi Syers,oleh kerana tugas menyelenggara jalan-jalan di Kuala Lumpur adalah tugas wajib LKKL, tuntutan gantirugi tersebut adalah wajar.
Dengan wujudnya konsep tersebut, maka wujudlah konsep mendakwa dan kebertanggungjawapan dalan kehidupan masyarakat Kuala Lumpur pada masa itu.

Institusi Pasar dan Kawalan Harga Bekalan Makanan.

Sebelum tertubuhnya penguasa tempatan di bandar Kuala Lumpur, pasar dan bandar telah diuruskan di bawah kapitan-kapitan Cina. Di Kuala Lumpur, terdapat sebuah pasar besar dan sebuah kedai pajak judi kepunyaan Yap Ah Loy iaitu Kapitan Cina yang ketiga (1868-1885) berdekatan dengan Medan Pasar Lama. Aktiviti harian pada waktu itu tertumpu kepada pasar tersebut dan kawasan sekitarnya.

Pasar ini tidak sekadar membekalkan barangan keperluan harian kepada penduduk di kawasan segiempat itu sahaja tetapi turut membekalkan keperluan bagi lombong-lombong yang berada disekitarnya. Selain itu,pasar juga mempunyai beberapa fungsi seperti tempat jual beli pada waktu siang. Manakala pada waktu malam pasar berubah fungsi sebagai tempat hiburan Cina iaitu sebagai tempat berjudi, tempat minum arak, candu dan rumah-rumah pelacuran.

Di era pentadbiran British khususnya selepas tahun 1890, peranan pasar telah mengalami perubahan. Pada zaman Swettenhem menjadi residen di Selangor pada tahun 1882 hingga 1889 pasar tidak lagi dibenarkan menjalankan aktiviti selain sebagai pusat jual beli. Perubahan fungsi ini bermula apabila Swettenham mengarahkan Yap Ah Loy memindahkan pajak-pajak judinya ke Cross Street dan rumah-rumah pelacurannya ke Pudoh Road. Semua ini dilakukan bagi mengurangkan kesesakan di sekitar pasar dan sekali gus mengubah suasananya.

Pasar juga telah berfungsi sebagai tempat kawalan bekalan bahan makanan termasuklah kuantiti, kualiti dan harga. British mengawal pasar dengan membuat peraturan dimana pasar ialah pusat pasar dan 50 ela di sekeliling pasar dan kedai hanya boleh menjual barangan runcit yang kering sahaja. Pada tahun 1890, Kuala Lumpur mempunyai tiga buah pasar iaitu Pasar Besar Kuala Lumpur, Pasar Pudoh dan Pasar Jawa Street; jumlah ini meningkat kepada lapan buah pada tahun 1914. Menjelang tahun 1914, terdapat lapan buah pasar awam yang diletakkan di bawah kelolaan LKKL. Pasar utama ialah Pasar Besar Kuala Lumpur, pasar-pasar lain adalah Pasar Pudoh, Pasar Batu Road (Jalan Tunku Abdul Rahman), Pasar Ampang, Pasar Setapak, Pasar Sungai Besi, Pasar Sentul dan Pasar Kepong.

Kawalan lebih ketat terhadap institusi pasar mendapat perhatian LKKL disebabkan teknologi penjagaan makanan ketika itu masih rendah. Kuala Lumpur mempunyai cold storage yang pertama hanya pada tahun 1906. Dibuka oleh seorang Jerman, Schwartz namanya. Pusat penyembelihan Kuala Lumpur pula mempunyai bilik pendingin hanya pada tahun 1909 bagi menyimpan daging haiwan yang telah disembelih dan diperiksa untuk dijual di pasar keesokannya. Bekalan harian khususnya bagi orang-orang Eropah terutama sekali bekalan daging segar dan pakaian, diimport dari Singapura dan Pulau Pinang. Daging-daging segar ini akan dibungkus kemas di dalam kotak bersama-sama dengan ketul ais untuk mengekalkan kualiti daging. Kerja mengimport bekalan makanan harian dari luar mempunyai banyak kerenahnya. Kuala Lumpur bukan setakat terpaksa tunduk kepada tangga harga di Singapura atau Pulau Pinang malah jaminan untuk menggunakannya diragui. Selepas tahun 1900, daging-daging mentah tidak lagi dibenarkan diimport dari luar kecuali binatang-binatang ternakan sahaja.

Melalui institusi pasar dan pusat penyembelihan juga, pihak LKKL dapat memantau kualiti bekalan makanan terutamanya daging mentah yang dikhuatiri boleh memungkinkan penyakit keracunan makanan. Diarea dan disentri umpamanya merupakan antara penyakit yang menyumbang kepada kadar kematian yang tinggi di Kuala Lumpur ketika itu. Oleh sebab itulah, mulai tahun 1900, daging mentah tidak dibenarkan dibawa masuk dari luar. Penduduk Kuala Lumpur hanya boleh mendapatkan bekalan tersebut dari pasar tempatan kerana proses penyediaannya dilakukan di pusat penyembelihan yang diawasi pihak Pegawai Kesihatan Kuala Lumpur.
Kawalan bekalan harga makanan juga telah berlaku pada era ini dimana selepas pentadbiran pasar diambil alih dan diletakkan dibawah LKKL. Kawalan bekalan harga makanan ini berlaku kerana harga makanan di Kuala Lumpur adalah lebih mahal berbanding dengan tempat-tempat lain di Selangor. LKKL telah mengambil inisiatif memperkenalkan dua jenis pajakan untuk mengawal harga bekalan makanan iaitu pajakan gerai dan pajakan jualan. Walaupun British telah memperkenalkan sistem pajakan tersebut, namun harga makanan di Kuala Lumpur tetap menunujukkan kecenderungan untuk naik. Ini kerana LKKL menyedari wujudnya masalah ketidakseimbangan yang serius antara penawaran dan permintaan. Misalnya, pada tahun 1890 hanya terdapat tiga buah pasar untuk sejumlah 19,000 orang penduduk dan hingga tahun 1914, hanya terdapat lapan buah pasar untuk menampung 58107 penduduk.
Sistem pajakan yang diperkenalkan oleh LKKL ini telah menyebabkan penduduk menganggung perbelanjaan harian yang tinggi dan ia memberi kesan langsung kepada golongan yang berpendapatan rendah.

Penularan Wabak Penyakit.

Akibat pertambahan penduduk yang drastik di bandar Kuala Lumpur, telah muncul pelbagai penyakit seperti malaria, Desentri dan Diarea, taun,siplis, hawar dan lain-lain lagi.

Pada 21 Disember 1881, banjir besar telah melanda Kuala Lumpur. Keadaan ini telah memberi impak kepada yang buruk kepada Kuala Lumpur. Misalnya kadar kebersihan dalam keadaan yang begitu teruk sekali. Ia telah menyebabkan kadar kesihatan penduduk amat membimbangkan.,isalnya adalah jangkitan terhadap penyakit malaria. Dilaporkan bahawa, sebelum pentadbiran ibu negeri dipindahkan ke Kuala Lumpur, hanya 5 orang sahaja yang mati dalam tempoh 5 tahun. tetapi di Kuala Lumpur, dalam tahun pertama sahaja, 12 orang telah mati akibat malaria. Kemuncak kepada keadaan yang semakin meruncing ini ialah kematian anak perempuan kepada Blomfield Douglas iaitu Residen Selangor pada masa itu.

Penyakit malaria bukanlah penyakit asing di Kuala Lumpur. Sebagai sebuah kawasan yang terletak di kawasan berpaya dan beriklim tropika, maka ia telah menggalakkan pembiakan nyamuk Anophelenes (pembawa kuman malaria). Sejarah penyakit malaria di Kuala Lumpur telah bermula sejak zaman awal pembukaannya lagi. Ini kerana, daripada 87 pekerja Cina yang terlibat dalam pembukaan Kuala Lumpur ini, hanya 18 orang sahaja yang hidup. Kebanyakkan yang lain mati akibat malaria yang dikenali sebagai demam hutan pada masa itu. Keadaan ini adalah disebabkan oleh penerokaan di kawasan tebing yang bersempadan dengan kawasan paya, yang mana ia dipercayai sebagai malaria. Di Tanah Melayu, penyakit malaria ini berlaku di kawasan-kawasan hutan yang ditebang. Misalnya untuk petempatan, perlombongan, pembinaan jalan raya dan keretapi.

Selain penyakit malaria, penyakit beri-beri juga adalah antara penyakit yang amat ditakuti oleh penduduk. Satu hal yang menarik ialah penyakit beri-beri ini tidak dihadapi oleh orang melayu tetapi dihadapi oleh orang cina. Kajian terhadap penyakit beri-beri juga telah dilakukan pada tahun 1890-an dan mendapati bahawa penyakit ini lazimnya berlaku dikalangan orang yang memakan beras yang dikisar dan juga ikan masin ( ia adalah makana biasa bagi pelombong cina). Sebab inilah yang menyebakan ia tidak menyerang orang melayu yang memakan beras tumbuk dan juga orang india yang memakan beras separuh masak.

Penyakit siplis adalah penyakit yang berkaitan dengan penyakit kelamin. Penyakit ini dikatakan melanda Kuala Lumpur akibat daripada kegiatan rumah pelacuran yang dijalankan sejak zaman Yap Ah Loy. Pada tahun 1884, dilaporkan bahawa terdapat 300 orang wanita cina yang telibat dalam aktiviti pelacuran ( di kawasan Jalan Pudu dan Jalan Petaling). Masalah penyakit siplis yang melanda Kuala Lumpur pada masa ini dikatakan sebagai masalah dalam pentadbiran sosial. Ini kerana pada tahun 1890, terdapat 34 pusat pelacuran berdaftar di Kuala Lumpur dan hampir 550 orang pelacur. Pada tahun 1908, sebanyak 294 kes penyakit siplis dilaporkan di Hospital Daerah, Kuala Lumpur.

Sebagai sebuah bandar yang semakin berkembang, maka pertambahan penduduk telah berlaku dengan begitu pesat sekali di Kuala Lumpur. Ia telah menimbulkan keadaan dimana banyak sekali rumah baru dibina dan pembiaan rumah ini telah dilakukan secara tidak teratur susunannya. Misalnya ialah, kawasan dibelakang rumah dan keadaanya sangat kotor. Ini telah menyebabkan kepada pembiakan ejen pembawa penyakit seperti tikus iaitu pembawa penyakit hawar. Untuk mengelakkan agar gejala penyakit ini bertambah buruk lagi, maka kerajaan telah mengadakan kempen pembasmian tikus di kawasan bandar. Misalnya ialah, kerajaan akan membayar kepada sesiapa yang berjaya menangkap tikus dan tikus itu perlu dibawa ke pejabat Sanitary Board Kuala Lumpur. Peruntukan kewangan ini telah diluluskan oleh residen pada masa itu dan bayaran bagi setiap tikus yang telah berjaya ditangkap ialah 4 sen. Namun setelah pada tahun 1901, kadar bayaran untuk seekor tikus telah meningkat kepada 12 sen, iaitu apabila didapati bahawa wabak penyakit semakin meningkat. Usaha penangkapan tikus ini telah diteruskan hingga tahun 1912, iaitu cara upah telah digantikan dengan pasukan pengakap tikus yang dibayar gaji. Dan menjelang tahun 1913, Pegawai Kesihatan telah mengistiharkan bahawa bandar Kuala Lumpur bebas dari wabak hawar.

Penyakit taun di Kuala Lumpur dikaitkan dengan keadaan Kuala Lumpur yang agak primitiv pada masa itu misalnya dari segi kebersihan. Ini kerana sistem pembentungan najis adalah dalam keadaan yang tidak terurus dan kuno. Ini kerana sistem pembentungan najis ini tidak ketat dengan teknologi yang masih rendah. Jadi bagi mengatasi masalah taun, antara langkah yang telah diambil ialah dengan menggunakan kaedah kuarantin. Ia dimana Pegawai Perubatan diarahkan utnuk memeriksa setiap kapal yang berlabuh di Pelabuhan Kelang. Dalam pada itu, Pegawai Perubatan juga akan memeriksa semua perigi dalam bandar dan jika dicurigai, perigi tersebut akan ditutup untuk kegunaan orang ramai. Orang ramai juga akan diberitahu tentang wujudnya wabak taun dan menasihati mereka supaya memasak air sebelum diminum. Penduduk Kuala Lumpur juga telah dibekalkan dengan bekalan air bersih pada tahun 1896. Air bersih ini akan didapati melalui empangan di Ampang dan akan disalurkan kepada penduduk melalui batang paip. Sistem pembentungan najis juga telah diperbaiki. Misalnya, najis yang terkumpul akan digunakan semula oleh pekebun sayur utnuk dibuat baja.

Penyakit batuk kering pula, ia telah merebak secara meluas di Kuala Lumpur pada tahun 1904. Penyakit ini berpunca daripada bacteria Tuberculosis Bacillius (TB) yang menyerang manusia melalui saluran penafasan dan pemakanan. Namun begitu, jangkitan melalui saluran pernafasan dirumuskan sebagai jangkitan utama dalam kes batuk kering. Penyakit ini merebak apabila pengidap batuk kering yang batuk akan menyebarkan kuman tuberculosis dan kemudiannya akan disedut melaui penafasan oleh orang lain. Ia juga melalui air liur dan ini telah diburukkan lagi dengan tabiat orang Cina yang suka meludah di pusat-pusat tumpuan orang ramai, misalnya di panggung pementasan dan rumah judi. Keadaan ini bertambah rumit lagi kerana lantai di situ ialah lantai tanah dan ini telah menyebabkan keadaan yang berdebu dan memudahkan kuman tuberculosis ini mudah melekat pada debu dan habuk. Factor sosial yang didapati menyumbang kepada merebaknya batuk kering di Kuala Lumpur. Terdapat kajian yang menunjukkan bahawa petempatan yang penduduk lelakinya lebih ramai daripada perempuan, kadar berlakunya penyakit ini adalah tinggi. Dengan kewujudan penyakit lain seperti malaria, taun, siplos dan penyakit hawar, yang mana telah menyebakan daya tahan penyakit seseorang itu menjadi rendah dan ini telah menyebabkan mudah dihinggapi kuman tuberculosis. Jadi, antara langkah yang diambil untuk mengatasi masalah ini ialah dengan mewajibkan tempat tumpuan orang ramai seperti panggung pementasan dan rumah judi, lantainya digantikan dengan simen. Namun begitu, ia sukar dikuatkuasakan terutama sekali di rumah judi. Jadi, antara langkah lain ialah dengan mencadangkan agar lantai rumah ini akan disembur dengan tahi lembu (cara biasa yang digunakan di India dan Sri Lanka) dengan tujuan untuk meratakan lantai rumah. Namun cadangan itu tidak diterima oleh Residen.
Penyakit-penyakit yang muncul ini telah menyebabkan suasana yang tidak selesa di Kuala Lumpur. Ia merupakan satu kejadian yang baru dalam kehidupan masyarakat yang hidup di Kuala Lumpur. Kesan ini telah memberikan pendedahan baru tentang pengatahuan terhadap penyakit berjangkit. Ini telah menyebakan budaya kehidupan bandar menjadi lebih sistematik iaitu pembaharuan dalam sistem perparitan, kebersihan dan penngurusan kehidupan yang lebih baik.

Perubahan Dalam Sistem Pengangkutan


Perubahan dalam sistem pengangkutan ini diberi tumpuan kepada perkembangan keretapi dan jalan raya terutamanya di NNM. Pembinaan jalan raya juga telah berlaku dimana buat pertama kalinya jalan-jalan dibandar Kuala Lumpur telah dibina dengan menggunakan kaedah tar MacAdam dan Jalan Ampang yang tidak pernah terhenti dari kesibukan lalu lintas sejak tahun 1890 sehingga ke hari ini merupakan jalan yang pertama mengunakan kaedah ini. (1,300 ela (1,188.72 Meter). Pembinaan jalan raya ini telah memberikan demensi yang baru kepada masyarakat di Kuala Lumpur pada masa itu.

Perkembangan industri bijih timah di Selangor telah mendorong British menyediakan satu jalan perhubungan yang baik. Ini kerana kemajuan perlombongan yang berlaku berhampiran sekitar kuala lumpur yang juga sebagai pusat perlombongan di Selangor mendesak supaya wujudnya satu rangkaian perhubungan yang dapat menjimatkan masa.

Dalam era ini, pengangkutan keretapi telah diperkenalkan antara Kelang dan Kuala Lumpur pada tahun 1886. Pengenalan sistem keretapi ini telah memendekkan perjalanan daripada Kelang ke Kuala Lumpur dalam hanya 45 minit sahaja. Perjalanan melalui Sungai Kelang mengambil masa selama tiga hari. Manakala daripada Damansara perjalanan mengambil masa selama 3-4 jam untuk sampai ke Kuala Lumpur sejauh 16 KM.

Pembinaan landasan keretapi bukan sahaja telah menghubungkan kawasan-kawasan perlombongan tetapi landasan yang wujud hasil dari percantuman antara bahagian utara dan bahagian selatan semenanjung telah membolehkan pembukaan kawasan-kawasan baru untuk tanaman eksport. Proses perhubungan utara-selatan ini telah memperkukuhkan lagi pemerintahan British terutamanya di NNMB yang ditubuhkan pada 1896. Selain itu, pembinaan landasan keretapi ini telah menggalakkan masyarakat di Semenanjung untuk melakukan pergerakan dan migrasi daripada kawasan pendalam ke bandar Kuala Lumpur kerana pada ketika itu, Kuala Lumpur menjadi tumpuan masyarakat kerana kepesatan ekonomi dan kehidupan budaya bandar yang baru. Ia telah menggalakkan perkembangan bandar Kuala Lumpur.
Pembinaan landasan keretapi pada peingkat awal hanya menghubungkan NNM hanya melibatkan jarak yang dekat sahaja pada sekitar tahun 1890-an. Landasan tersebut menghubungkan kawasan-kawasan perlombongan bijih timah di pendalaman dengan pelabuhan-pelabuhan. Matlamat penwujudan bukan hanya untuk mewujudkan integrasi dan keseimbangan tetapi lebih kepada kepentingan perlombongan.

Pada tahap seterusnya, pembinaan keretapi ini telah dihubungkan ke hampir semua negeri-negeri di Semenanjung. Penggunaan keretapi ini memberikan kemudahan terutamnya dalam mengangkut barang-barang yang besar serta berat dalam kuamtiti yang banyak.selain mengurangkan kos dan menjimatkan masa, keretapi juga menjadi pengantara dalam aktiviti ekonomi terutamanya dalam pengakutan barang-barang. Sebagai contoh, dengan mewujudkan keretapi yang bersambung terus dengan Siam membolehkan urusan import beras yang banyak dengan harga yang murah. Pada ketika itu, beras amat diperlukan untuk memenuhi permintaan penduduk setempat dan juga imigran di Kuala Lumpur. Kemunculan keretapi tepat pada masanya. Ini kerana beras mendapat permintaan yang banyak. Di Selangor, pengangkutan beras dari Kelang ke Kuala Lumpur melalui Jalan Damansara mengambil masa beberapa hari. Kos pengakutan adalah sebanyak $15.00 se tan. Dengan perahu pula, memakan masa yang lebih lama serta bergantung kepada cuaca. Kadangkala bayaran yang mahal akan dikenakan ketika hujan. Namun begitu, masa yang diambil antara dua hingga tiga jam dan bayarannya adalah $3.36 se tan. Ini telah menyebabkan herga beras menjadi murah dan masyarakat Kuala Lumpur tidak lagi ditekan dengan harga yang tinggi.


Perkembangan Khidmat Kebersihan dan Kesihatan.

Kesihatan dan kebersihan telah diberi penekanan oleh Swettenhem ketika menjadi Residen General NNMB antara tahun 1896 hingga 1901. Beliau mendapati bahawa suasana Kuala Lumpur pada masa itu adalah dalam keadaan tidak menyenangkan terutamanya dari segi kebersihan. Ini adalah kerana penduduk yang tidak peka terhadap kebersihan. Ia ditambah lagi dengan masalah kemarau yang menyebabkan penyakit taun.

Untuk mengatasi masalah ini, Swettenhem telah mengarahkan supaya kerja-kerja pembersihan bandar dijalankan. Sampah-sarap ditepi jalan telah diangkut dan kemudiannya dibakar atau ditanam. Walaupun Swettenhem memberikan penekanan terhadap aspek kebersihan,khususnya aspek pencegahan penyakit, namun ia ditumpukan terhadap orang Eropah sahaja.

Pada tahun 1883, terdapat dua buah hospital milik kerajaan telah dibina iaitu Hospital Besar Kuala Lumpur yang majoriti pesakitnya adalah orang Eropah dan Pauper Hospital pula adalah untuk golongan miskin seperti pelombong. Hospital ini terletak di Bluff Road dan Jalan Pahang. Hospital ini dibina bagi memperbaiki taraf kesihatan yang diabaikan pada zaman Yap Ah Loy. Rawatan percuma diberikan kepada pesakit di Pauper Hospital. Namun begitu, kadar kematian di Kuala Lumpur pada masa itu adalah tinggi. Dr. W.A. Sinclair berpendapat bahawa kadar kematian yang tinggi adalah disebabkan oleh kelewatan menghantar pesakit ke hospital, kadar migrasi yang tinggi dan tradisi orang Cina yang menghantar pesakit yang tenat ke hospital bagi mengelakkan mereka mati di rumah.

Jawatan Kuasa Malaria juga telah ditubuhkan pada 1907 dan ia ditubuhkan dengan tujuan untuk menyiasat kawasan-kawasan yang disyaki mempunyai jentik-jentik malaria, membuat cadangan tentang cara mengatasi dan juga merangka anggaran perbelanjaan bagsi setiap cadangan yang dikemukakan. Jawatan Kuasa Malaria ini telah mengemukakan cadangan untuk membaiki sistem perparitan yang sedia ada di Kuala Lumpur. Namun begitu, sistem ini menemui kegagalan kerana kes kematian akibat malaria masih membimbangkan.

Lembaga Penasihat Malaria telah ditubuhkan pada 1911 akibat daripada kegagalan Jawatan Kuasa Malaria. Lembaga ini telah menjalankan kerja-kerja untuk menghapuskan malaria di Kuala Lumpur. Bagi merawat malaria dikalangan penduduk, maka ubat kuinin akan diberikan secara percuma. Ini adalah bagi mengurangkan beban orang ramai, terutama sekali bagi berpendapatan rendah. Bagi orang ramai yang ingin mendapatkan ubat kuinin ini, mereka boleh mendapatkannya di tempat-tempat seperti klinik,balai polis, pejabat pos, rumah penghulu dan guru sekolah. Tindakan kuarantin akan dikenakan kepada pendatang di Kuala Lumpur, terutam sekali jikalau mereka didapati menghidap penyakit berjangkit seperti malaria.

Dr. Lucy, iaitu Pemangku Surgen bagi negeri Selangor, telah menyatakan kepada Residen Jeneral di NNMB supaya buruh-buruh dibekalkan dengan makanan yang berkualiti. Dr. Mc Closky iaitu Surgen di Kuala Lumpur telah menekankan kepada pentingnya punca bekalan air. Sekiranya bekalan makanan yang baik dapat diberikan, bekalan air juga harus selamat untuk digunakan kerana ia berkemungkinan akan menjadi punca pembiakan nyamuk. Untuk meningkatkan punca bekalan air, bekalan air bersih dibekalkan kepada penduduk melalui saluran paip dan air paip yang dimaksukkan ke dalam tangki dicampurkan dengan klorin. Bagi yang menggunakan air perigi sebagai punca bekalan air, mereka dikehendaki mengkonkritkan perigi tersebut. Air yang hendak disimpan di dalam rumah hendaklah dalam keadaan yang baik dan tertutup. Ini adalah bagi mengelakkan ia menjadi tempat pembiakan nyamuk. Bagi di hospital, penyimpanan air adalah dengan menggunakan tangki yang tertutup dan telah dirawat.

Kesimpulan.

Perkembangan pesat Kuala Lumpur ini telah membawa perubahan yang besar dalam kehidupan masyarakat di Tanah Melayu. Pada asalnya pembukaan Kuala Lumpur hanyalah sebuah perkampungan yang tidak mempunyai apa-apa nilai ekonomi. Naman sebaliknya telah berlaku dimana bijih timah telah menjadi menjadi satu galian yang telah mencorakkan Kuala Lumpur sebagai sebuah bandar yang pesat membangun. Perpindahan pusat pentadbiran ke Kuala Lumpur daripada Kelang telah menyebabkan ia menjadi penting. Saya melihat penubuhan Sanitary Board Kuala Lumpur atau Lembaga Kebersihan Kuala Lumpur pada 1890 merupakan detik mula dimana bandar ditadbir dengan sistematik. Budaya kehidupan bandar telah wujud dalam masyarakat. Selain itu, perkembangan Kuala Lumpur sebagai sebuah bandar pada abad ke-19 dan awal abad ke-20 dapat dilihat dalam banyak aspek. Apek yang diberi penekanan ialah dalam aspek kebersihan,makanan, kawalan penyakit dan pembentungan najis. Saya melihat aspek ini penting kerana ia sebagai asas kepada kesejahteraan bandar KL yang berkembang pesat akibat daripada perlombongan bijih timah dan perkembangan perhubungan. Ia telah memberikan kesan yang positiv dan negativ kepada masyarakat yang menghuni Kuala Lumpur.



Bibliografi
Buku.
Ahmad Kamal Ariffin Mohd Rus, Sanitary Board Kuala Lumpur,1890-1914: Peranan dan Pentadbiran, Kuala Lumpur: Persatuan Sejarah Malaysia , 2001.
Amarjit Kaur, Brigde and Barrier : Transport and Communications in Colonial Malaya 1870-1937, London: Oxford University Press, 1985.
David Taylor, Mastering Economy and Social History, London: Macmillan Education Ltd., 1988.
E. Sadka, The Protected Malay States 1874-1895, Kuala Lumpur : University of Malaya Press, 1968.
J.M Gullick, A History of Kuala Lumpur 1856-1939, Kuala Lumpur: MBRAS, 2000.
J.M. Gullick. A History of Selangor 1745-1957, Singapore: Eastern University Press, 1960.
J.M. Gullick, Old Kuala Lumpur, Kuala Lumpur : Oxford University Press, 1994.
J.M. Gullick, The Story of Kuala Lumpur 1857-1939, Singapore: Eastern University Press, 1983.
Lim Heng Kow, The Evolution of The Urban System in Malaya, Kuala Lumpur : University of Malaya Press, 1978.


Jurnal Akademik.
Ahmad Kamal Ariffin Mohd Rus, “Pengalaman Perbandaran di Kuala Lumpur, 1890-914: Perspektif Kisah Sampah dan Debu”, Jurnal Jabatan Sejarah, Universiti Malaya, Bil. 13, 2005, hlm 101-119.
Ahmad Kamal Ariffin Mohd Rus, “Pengasasan Kerajaan Tempatan Di Semenanjung Malaysia dengan Rujukan Kepada Sanitary Board Kuala Lumpur,1890-1914”, Jurnal Jabatan Sejarah, Universiti Malaya, Bil. 4, 1996, hlm 109-122.

Latihan Ilmiah.
Jaky Mohd Jun, “Sejarah Pengawalan Bekalan Makanan (1890-1920):Langkah dan Kesannya di Kuala Lumpur”. Latihan Ilmiah, Jabatan Sejarah, Universiti Malaya, 2006.

Munirah Ab. Hamid, “Pengangkutan Keretapi Di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu 1896-1941”, Latihan Ilmiah,jabatan Sejarah, Universiti Malaya, 2006.

Wilso Lunan, “Sejarah Penyakit Malaria di Kuala Lumpur, 1900-1917” , Latihan Ilmiah, Jabatan Sejarah, Universiti Malaya, 2003.




Kertas Persidangan.
Ahmad Kamal Ariffin Mohd Rus, Istitusi Pasar dalam Sejarah:Analisis Terpilih Mengenai Peranan Pasar di Bandar Kuala Lumpur Sehingga Tahun 1914. Seminar Sejarah Sosial Malaysia Peringkat Kebangsan dan Serantau , Kuala Lumpur: Jabatan Sejarah, Fakulti Sastara Dan Sains Sosial, Universiti Malaya, 2005.
Ahmad Kamal Ariffin Mohd Rus, Pengalaman Perbandaran Di Kuala Lumpur 1890-1914: Analisis Terhadap Kawalan Kesihatan Awam Lembaga Kesihatan Kuala Lumpur. International Conference On Social, Development And Environmental Studies. Bangi: Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia, 2008.

2 comments:

iLham Safraa said...

terima kasih kerana memberi info yang bagus dan bermanfaat..teruskan usaha murni anda

nita said...

thanks for your info continue your efforts....